Jurgen Klopp berasakan sepakan penalti yang diberikan kepada Napoli dalam kekalahan 0-2 Liverpool ketika membuka kempen mempertahankan trofi Liga Juara-Juara (UCL) adalah "jelas sekali bukan satu penalti".

Jose Callejon terjatuh selepas dicabar Andy Robertson dalam pertembungan di Stadio San Paolo itu, awal pagi tadi, dan pengadil, Felix Brych, tidak ragu-ragu untuk menunjukkan ke arah titik sepakan itu dalam aksi pembukaan Kumpulan E berkenaan.

Ulang tayang menunjukkan sentuhan mininum di antara Callejon dan Robertson tetapi keputusan untuk menghadiahkan penalti itu telah disahkan melalui video bantuan pengadil (VAR).

Dries Mertens mengambil peranan itu dengan melakukan sepakan yang melepasi jangkauan Adrian sementara kesilapan Virgil van Dijk membolehkan Fernando Llorente membuka akaun jaringannya bersama Napoli untuk meraih tiga mata.

Skuad kendalian Klopp itu turut tumpas kepada lawan yang sama di peringkat kumpulan tahun lalu sebelum memenangi kejuaraan. Sehubungan itu, pengurus Liverpool tersebut tidak bersetuju dengan keputusan pengadil itu yang dilabel penting.

"Saya tidak fikir ia adalah penalti," kata Klopp kepada BT Sport. "Apa yang boleh saya katakan, bagi saya, jelas sekali ia bukan penalti. Dia (Callejon) melompat sebelum terkena terjahan, kami tidak boleh mengubahnya lagi.

"Kami menampilkan banyak gerakan menarik tetapi tidak dapat menyudahkannya. Kami mengawal detik-detik permainan tetapi pada akhirnya tidak mempunyai peluang yang cukup.

"Kami membuat keputusan yang tidak tepat dan perlu akur dengan keputusan ini. Sering kali bola terakhir kami tidak dilakukan dengan betul."

Liverpool merupakan juara bertahan yang pertama untuk tewas dalam aksi pembukaan sejak AC Milan melakukannya pada 1994-95.

"(Kekalahan ini) memang memedihkan kerana kami memiliki peluang," kata pengurus berbangsa Jerman itu.

"Ia adalah satu perlawanan yang terbuka dengan banyak aksi serangan balas tetapi kami gagal menyudahkannya, itulah masalahnya.

"Perlawanan bertukar menjadi liar dalam babak kedua, mereka berlari dan kami juga berlari."