Ia slot pemain pertahanan, kata Kim Swee

Oleh Penulis Jemputan 8 November 2019 3153
Ia slot pemain pertahanan, kata Kim Swee
Bukan penyerang atau pemain tengah tetapi pertahanan kental, kata ketua jurulatih skuad B-22 negara, Datuk Ong Kim Swee, mengenai satu lagi slot pemain lebih umur menjelang Sukan SEA Filipina hujung bulan ini.

Setakat ini, hanya pertahanan Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, dipanggil untuk mengisi slot pemain lebih umur dalam skuad negara bagi temasya itu.

Kim Swee menegaskan satu lagi slot itu akan turut diisi pemain pertahanan, dengan pengumumannya akan dibuat selepas skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe menyelesaikan tugasan menentang Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 19 November ini.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami mempunyai ramai pemain di bahagian tengah dan serangan.

"Saya tidak nampak kami memerlukan pemain lebih umur di bahagian itu.

"Apa yang penting, kami perlu memperkuatkan bahagian pertahanan kecuali ada pemain utama di bahagian tengah dan serangan yang cedera," katanya.

Dalam masa sama, Kim Swee merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa, namun ia masih belum mendapat sebarang kata putus.

"Saya akan mengadakan perlawanan dengan satu kelab tempatan minggu depan dan masih lagi mencuba untuk mendapatkan satu perlawanan antarabangsa sebelum ke Manila," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen