EIBAR 0 REAL MADRID 4

Zinedine Zidane menganggap kemenangan 4-0 Real Madrid ke atas Eibar dalam perlawanan LaLiga di Stadium Municipal de Ipurua awal pagi tadi sebagai "persembahan lengkap serba-serbi" sambil menggesa pemainnya untuk mengekalkan momentum mereka.


Sergio Ramos dan Karim Benzema menjaringkan gol daripada sepakan penalti selepas Benzema membuka jaringan pada minit ke-17.

Federico Valverde muncul penjaring gol keempat -- gol pertamanya buat kelab itu -- selepas sejam perlawanan untuk Madrid meraih tiga mata dan terus memberikan tekanan buat pendahulu liga, Barcelona.

"Ia amat hebat untuk meraih kemenangan di sini," katanya kepada Movistar.

"Ia bukanlah stadium yang mudah untuk dilawati.

"Setiap pasukan yang hadir ke sini pasti menderita tetapi kami bermula dengan amat baik.

"Babak pertama merupakan satu fenomena dalam setiap cara.

"Kami mengawal kawasan yang pihak lawan mungkin boleh mengancam kami

"Kami mengawal bola dengan baik, bermain secara terus, menyerang dan bertukar-tukar posisi.

"Ia persembahan yang lengkap serba-serbi dan saya gembira dengannya," katanya.

Madrid memenangi empat daripada lima perlawanan terakhir dalam kesemua kejohanan sejak tewas 0-1 kepada Real Mallorca, 19 Oktober lalu dan kekalahan itu menjadi titik tolak terhadap perubahan visi yang dibawa Zidane.

"Kami telah berusaha keras dan percaya terhadap apa yang kami lakukan.

"Perlawanan menentang Mallorca amat rumit buat kami.

"Tetapi sejak itu, kami amat cemerlang di depan gawang dan semua perkara lain menjadi lebih mudah.

"Kami perlu meneruskannya kerana ia akan menjadi semakin rumit," tambahnya.

Skuad kendalian Zidane itu tidak pernah dibolisi sepanjang lima perlawanan berturut-turut dalam kesemua kejohanan -- kali pertama sejak melakukannya pada September 2015 -- dengan menjaringkan 16 gol sepanjang tempoh itu.

"Bertahan melibatkan seluruh pasukan.

"Ia perlawanan yang sukar buat kami.

"Ia bukan hanya tentang Thibaut (Courtois) dan pertahanan kami tetapi buat Benzema, Eden (Hazard) dan Lucas (Vazquez) juga.

"Mereka melakukannya dengan amat baik dan perlu meneruskannya.

"Saya gembira dengan prestasi semua pemain, mereka tahu mereka boleh membantu pasukan," katanya lagi.