Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, mengakui Kai Havertz dan Timo Werner digantikan kerana prestasi buruk ketika menentang Porto dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi tadi.

Mason Mount dan Ben Chilwell menjaringkan gol Chelsea ke atas pasukan Portugis itu untuk membawa kelebihan 2-0 hasil kemenangan di Seville.

Ia merupakan respons yang diperlukan pasukan kendalian Tuchel itu selepas Chelsea, yang beraksi dengan 10 pemain , tewas 2-5 kepada pasukan bawahan, West Brom, dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum ini.

Tetapi Chelsea tidak memperoleh kemenangan mudah ke atas Porto, yang merupakan pasukan lebih baik dalam sebahagian aksi dan hanya tewas berikutan keberkesanan penyudah.

Havertz dan Werner kelihatan jelas bergelut di mana dua pemain Jerman itu kemudian masing-masing digantikan oleh Olivier Giroud dan Christian Pulisic pada 25 minit terakhir dan Tuchel memberikan penjelasan mengenai keputusannya.

Dalam 29 perlawanan terakhirnya dalam kesemua kejohanan, Werner sudah terlepas sebanyak 20 peluang besar.

"Saya menerima bahawa ia perlawanan yang sukar buat Timo dan Kai hari ini," kata Tuchel kepada wartawan selepas Chelsea memperoleh kemenangan di laman lawan kedua berturut-turut dalam pusingan kalah mati UCL buat kali pertama sejak 2004.

"Ia bukan hari terbaik mereka tetapi kami juga tidak memberikan yang terbaik buat mereka.

"Perhubungan di antara tujuh pemain di bawah dan tiga pemain di atas, kami kehilangan sedikit sambungan di bahagian itu.

"Bola yang kami hantarkan bukanlah yang terbaik dan saya dapat rasa dua pemain Jerman kami di depan, Kai dan Timo, tidak bermain di tahap terbaik mereka hari ini, jadi saya perlu melakukan impak daripada bangku pemain simpanan," katanya.