Sabah bakal menjadi tumpuan penyokong kelab bola sepak Manchester United di dunia apabila dipilih oleh Old Trafford bagi mengadakan program 'I Love United' yang bakal berlangsung di Gypsy Bar, I-Plaza Penampang, 16 Disember ini.

Malaysia adalah antara lima negara yang terpilih bagi mengadakan program itu dengan Negeri Di Bawah Bayu menjadi venue selepas ia berlangsung di Kuala Lumpur tahun lalu.

Presiden Kelab Penyokong Manchester United Malaysia (United Malaysia), Batholomew Jingulam, berkata program itu adalah satu peluang kepada semua penyokong, khususnya di Sabah, untuk berkumpul.

"Ia juga satu peluang kepada kami untuk membawa dua legenda Manchester United datang ke Sabah sekiranya kami boleh mendapat seberapa banyak hashtag (#ILOVEUNITED_MY) yang boleh sepanjang program itu berlangsung.

"Sejak dari dulu lagi, impian United Malaysia adalah untuk membawa legenda pasukan itu ke sini dan kami harapkan ia menjadi kenyataan selepas program itu.

"Ini juga satu peluang bagi United Malaysia bagi membuktikan yang kita juga mampu menganjurkan program besar seperti ini. Pasukan media dari Old Trafford juga akan turun ke sini untuk lintas langsung antara lima negara yang mengadakannya," katanya ketika ditemui di Penampang, semalam.

Sehubungan itu, Batholomew berharap semua penyokong kelab itu akan datang beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan selain menyaksikan siaran langsung perlawanan di antara Manchester United dan Liverpool pada hari berkenaan.

Sementara itu pengerusi penganjur, George Stephan, berkata selain menyaksikan siaran langsung perlawanan, pelbagai lagi acara lain turut diadakan, termasuk cabutan tiket bertuah dengan hadiah utamanya ialah pakej bagi menyaksikan perlawanan di Old Trafford secara percuma.