Bekas pemain sayap skuad bola sepak kebangsaan, Khan Hung Meng, memulakan tugas sebagai penolong jurulatih skuad B-23 tahun negara, semalam.

Hung Meng, yang sebelum ini pernah berkhidmat dengan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), bertekad untuk membantu Datuk Ong Kim Swee dalam Kejohanan AFC B-23 di China, Januari tahun depan.

Ini adalah kali pertama Hung Meng bekerja dengan Kim Swee, namun berasa tiada masalah untuknya bekerjasama dengan jurulatih kelahiran Melaka itu.

"Saya berasa sangat bertuah kerana dapat bersama pasukan dan saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu pasukan.

"Dia (Kim Swee) secara profesional bercakap dengan saya, memberitahu apa yang saya perlu buat. Dia memang berterus-terang," katanya.

Hung Meng, 58, adalah penolong kedua skuad B-23 tahun negara selepas Brad Maloney.

Dalam pada itu, Kim Swee turut menyambut baik kehadiran Hung Meng dalam pasukan.

"Kita tahu dia merupakan bekas pemain kebangsaan dan dia bukan baru berkecimpung dalam bidang latihan tetapi sudah lama. Dia pernah bekerja dengan AFC.

"Ia akan memberi banyak bantuan kepada kami. Dia juga penyerang yang baik ketika zamannya. Dia akan membantu kami untuk membimbing penyerang-penyerang kita," kata Kim Swee.