Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Abdul Ghani Hassan, menolak dakwaan bahawa hukuman pemotongan tiga mata kepada pasukan PDRM akan mencemarkan imej Liga Malaysia (Liga-M) bermula hujung bulan ini.

Ia merupakan hukuman pertama dan MFL, sebagai badan pentadbir Liga-M, menganggapnya sebagai satu pembaharuan yang bagus demi kelangsungan industri bola sepak di Malaysia.

Tambahnya, ia sepatutnya dilihat sebagai satu pengajaran buat setiap pasukan supaya tidak mengabaikan isu gaji pemain pada masa akan datang.

"Pemotongan tiga mata kepada PDRM itu merupakan hukuman yang dijatuhkan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Bagi kami, ia akan tetap diteruskan di peringkat liga dan PDRM akan turun sebagai pasukan yang ditolak tiga mata dalam perlawanan pembukaan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Ghani turut menolak dakwaan bahawa kelewatan penganjuran liga musim ini adalah disebabkan kegagalan Stadium Sultan Ibrahim di Nusajaya siap pada tempoh yang sepatutnya.

"Masalahnya disebabkan ECP (Program Kawalan Ekonomi MFL), kita sendiri tahu mengenai masalah pembayaran gaji dan sebagainya.

"ECP perlu dilaksanakan dan ramai rakan-rakan dalam liga di luar negara memuji langkah-langkah (yang diambil) MFL," tambahnya.




Editor: Muzaffar Musa