Hujan tidak halang 'ekor' sambut Harimau Malaya

Oleh Bernama 16 Disember 2018 732
Hujan tidak halang 'ekor' sambut Harimau Malaya
Hujan lebat tidak menghalang ratusan penyokong hadir di Dataran Merdeka malam ini untuk memberi sokongan kepada skuad Harimau Malaya yang muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018.

Para penyokong, atau kini dikenali sebagai 'ekor' Harimau Malaya, mula berkumpul di sekitar dataran yang penuh bersejarah itu seawal jam 5 petang tanpa mengendahkan hujan lebat. 

Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe itu pulang ke tanah air hari ini selepas aksi final kedua Piala AFF 2018 di Hanoi, Vietnam, malam tadi. 

Sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sekitar jam 6 petang, skuad Harimau Malaya menaiki model kereta keluaran terbaru Proton, X70, ke Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebelum berarak menaiki bas ke Dataran Merdeka. 

Di Dataran Merdeka, skuad Harimau Malaya disambut dengan sorokan gemuruh daripada 'ekor-ekor' setia, termasuk kanak-kanak. 

Sebagai tanda penghargaan kepada penyokong, pemain turut mengedarkan baju dan poster skuad Harimau Malaya yang disediakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 

Vietnam muncul juara Piala AFF 2018 dengan keputusan agregat 3-2 selepas menewaskan Malaysia 1-0 dalam final kedua menerusi jaringan Nguyen Anh Duc pada minit keenam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.  

Kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam aksi final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa lalu.

Untuk rekod, Malaysia mara ke final kejuaraan yang melibatkan negara-negara Asia Tenggara itu sebanyak empat kali sejak kejohanan dwitahunan itu diperkenalkan pada 1996, namun hanya pernah muncul juara sekali pada edisi 2010.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen