Luka Modric menolak cadangan hubungan di antaranya dan Cristiano Ronaldo menjadi tegang serta memberi jaminan tidak akan bergandingan dengan Lionel Messi.

Pemain tengah Real Madrid itu merupakan calon terbaik untuk menamatkan dominasi Ronaldo dan Messi dalam persaingan Ballon d'Or sejak sedekad lalu.

Pemain berusia 33 tahun itu memenangi Liga Juara-Juara (UCL) buat kali ketiga berturut-turut bersama Ronaldo sebelum mengatasi Messi dan Argentina dalam perjalanan membawa Croatia mara ke final Piala Dunia.

Modric telah diangkat sebagai Pemain Terbaik FIFA mengatasi Ronaldo, yang kini bersama Juventus, tetapi menegaskan hubungannya dengan bekas rakan sepasukannya itu masih lagi sama.

"Kami beraksi bersama selama enam tahun di Madrid dan membina hubungan persahabatan serta saling menghormati," kata Modric.

"Walaupun Ronaldo telah berhijrah, kami masih lagi berhubung. Apa yang boleh saya katakan kami masih lagi mengekalkan hubungan persahaban yang baik."

Messi dijangka terlepas peluang untuk meraih Ballon d'Or yang keenam selepas menamatkan saingan di tempat kelima dalam pencalonan Pemain Terbaik FIFA.

Modric turut memberi jaminan tidak akan bergandingan dengan Messi dalam satu pasukan.

"Saya beraksi berdepan Messi, bukan bersamanya.

"Messi adalah salah seorang pemain terbaik dalam sejarah tetapi saya tidak akan bergandingan dengannya."

Modric dan Messi ketika bertembung apabila Barcelona menerima kunjungan Real pada 28 Oktober.