SCHALKE 1 LOKOMOTIV MOSCOW 0

Pertahanan Lokomotiv Moscow, Benedikt Howedes, berasa kesal susulan tewas dalam kepulangannya ke Schalke selepas wakil Bundesliga itu menyumbat gol kemenangan dalam masa kecederaan dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.


Alessandro Schopf meledak gol penentu di detik-detik terakhir permainan untuk mengesahkan penyingkiran Lokomotiv dalam semua kejohanan Eropah musim ini.

Keputusan itu menyaksikan Lokomotiv mencatat lima kekalahan dalam enam perlawanan Kumpulan D, termasuk satu lagi kekalahan 0-1 kepada Schalke di Moscow -- juga dengan faktor gol lewat permainan oleh Weston McKennie.

"Anda boleh membandingkan kekalahan malam ini (awal pagi ini) dengan perlawanan pertama di Moscow," kata Howedes. "Ia hampir sama. Kami bertahan dengan baik dan tidak memberikan banyak ruang kepada Schalke, namun kami kalah dalam kedua-dua perlawanan kerana dua situasi yang tidak bagus."

Howedes dan Jefferson Farfan yang pernah mewakili Schalke, diberi penghormatan sebelum sepak mula di Arena Veltins bersempena sumbangan mereka kepada kelab berkenaan.

"Ia perasaan yang sangat emosional buat saya malam ini," tambah Howedes, yang merupakan produk remaja Schalke sebelum berhijrah awal tahun ini.

"Ramai rakan-rakan menghantar mesej kepada saya pada minggu lalu dan berharap saya berjaya.

"Saya menempah banyak tiket untuk perlawanan ini dan mempunyai ramai kenalan di stadium, sebab itulah ia lebih mengecewakan untuk bermain dan tewas dengan cara ini.

"Upacara penghormatan itu memberi makna besar kepada saya, saya mewakili kelab ini selama 16 tahun. Ia merupakan hati dan cinta saya. Saya mengerah segala kudrat demi kelab ini serta mencurahkan segala kecintaan terhadap kelab ini.

"Ini mungkin kali terakhir saya berpeluang beraksi di stadium ini, di hadapan ramai peminat dan apabila mereka meraikan saya seperti ini, ia menusuk ke dalam hati saya."

Bos Schalke, Domenico Tedesco, gembira dengan kebangkitan pasukannya selepas tumbang dalam aksi 'Revierderby' hujung minggu lalu biarpun memberikan tentangan hebat kepada Borussia Dortmund.

"Amat penting untuk kami menang malam ini buat para peminat dan keyakinan kami," katanya.

"Ia membuktikan kami boleh berpegang kepada falsafah kami dan masih mampu memenangi perlawanan."