Benedikt Howedes sudah bersedia untuk membuat penampilan sulung bersama Juventus berdepan Sampdoria.

Pemain kebangsaan Jerman itu menandatangani kontrak bersama juara Serie A itu dari Schalke pada Ogos lalu secara pinjaman dengan pilihan untuk berhijrah secara tetap tetapi diketepikan kerana mengalami kecederaan.

Pemain berusia 29 tahun itu mengalami kecederaan paha pada September dan terpaksa berehat panjang.

Howedes teruja untuk kembali beraksi di atas padang untuk Juve menghadapi aksi sukar bertemu Sampdoria, Crotone dan Napoli bagi saingan liga dan Barcelona dalam perlawanan Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya bersedia dan sangat gembira," kata Howedes.

"Ia bukan permulaan yang baik bersama Juve kerana kecederaan yang saya alami tetapi setiap individu dalam pasukan ini memberikan sokongan dan saya juga sudah mula fasih berbahasa Itali.

"Saya kini meletakkan fokus untuk kembali beraksi dan membantu rakan sepasukan, bermula dengan perlawanan seterusnya," ujarnya.