Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, membidas kenyataan penjaga gawang Jerman, Marc-Andre ter Stegen, Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) dan media ekoran perbalahannya dengan Manuel Neuer, yang menurutnya adalah penjaga gol yang lebih baik.

Ketegangan di antara tonggak Bayern dan Barcelona itu semakin memuncak setelah Ter Stegen meluahkan kekecewaannya berhubung peluangnya bersama Jerman di peringkat antarabangsa.

Walaupun Ter Stegen yang telah mewakili Jerman sebanyak 22 kali mempamerkan prestasi memukau di samping juara LaLiga itu, Neuer selaku ketua pasukan pula kekal sebagai pilihan utama dalam kempen kelayakan Euro 2020.

Neuer -- pemenang Piala Dunia yang telah tampil dalam 90 perlawanan -- mendakwa rakan seposisinya itu meletakkan dirinya lebih utama berbanding Die Mannschaft apabila mempersoalkan krebiliti pemain berusia 33 tahun itu yang masih memegang watak utama.

Berikutan kemenangan 3-0 Bayern ke atas Red Star Belgrade ketika membuka kempen Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi, Hoeness lantas masuk campur dalam perbalahan terbabit.

"Saya fikir ini merupakan satu jenaka, terutama akhbar Munich. Saya fikir apa yang mereka lakukan tidak bagus," kata Hoeness kepada pemberita.

"Akhbar Jerman Barat menawarkan sokongan tinggi kepada Marc-Andre ter Stegen, seolah-olah dia pernah memenangi Piala Dunia sebanyak 17 kali sedangkan dalam akhbar Jerman Selatan, saya langsung tidak melihat sebarang sokongan.

"Saya fikir adalah mustahil untuk mengutarakan topik itu secara umum memandangkan dia tidak berhak (untuk mempersoalkan tempatnya dalam pasukan kebangsaan). Posisi penjaga gol adalah berbeza daripada yang lain.

"Dia (Neuer) merupakan penjaga gol terbaik di dunia selama bertahun-tahun (sebelum ini). Kadang-kadang dia tercedera tetapi ketika ini, jelas sekali keupayaan sebenarnya telah kembali, jadi tiada sebab untuk membincangkannya sama ada dia layak untuk menjadi penjaga gol nombor satu atau tidak.

"Saya berharap lebih banyak sokongan daripada DFB. Kami sering menghadapi masalah dengan DFB.

"Pertama sekali, saya masih ingat lagi bagaimana tiga pemain kami disingkirkan daripada pasukan kebangsaan (Thomas Muller, Jerome Boateng dan bekas pertahanan, Mats Hummels) dengan cara yang sangat buruk.

"Sekarang, Manuel Neuer turut menghadapi stituasi serupa. Saya tidak tahu bagaimana dia (Ter Stegen) boleh membangkitkan topik ini secara umum sedangkan dia hanya perlu berbincang dengan (ketua jurulatih) Joachim Low. Ini situasi yang tidak baik.

"Kami mempunyai pendapat kami dan kami tidak akan membiarkan pemain kami dikritik (secara lantang) pada masa akan datang.

"Ter Stegen adalah penjaga gol yang bagus tetapi Manuel Neuer lebih baik dan mempunyai lebih banyak pengalaman daripadanya.

"Tiada siapa di dunia ini yang boleh meragui keupayaan Manuel Neuer sebagai penjaga gol utama Jerman. Neuer boleh meneruskan aksi selagi dia sihat. Dia sentiasa merupakan yang terbaik. Ia tidak perlu dibahaskan lagi."