Bayern Munich dan Niko Kovac berpisah selepas beberapa pemain kelab Jerman itu tidak lagi mahukannya, kata Uli Hoeness.

Juara Bundesliga itu akhirnya menemui jalan penamat dengan bekas ketua jurulatih, Kovac, hujung minggu lalu susulan kekalahan 5-1 yang memalukan di tangan Eintracht Frankfurt.

Kapten pasukan, Manuel Neuer, mendakwa setiap pemain skuad utama boleh duduk dengan bekas pengurus Croatia itu dan adiknya, Robert, yang bertindak selaku pembantu sambil merenung mata mereka.

Namun, situasi sebenar memperlihatkan sesetengah pemain tampak tidak lagi mampu untuk mengikuti cara rejim itu.

"Terdapat beberapa pemain dalam pasukan yang mahukan Kovac pergi," kata Hoeness kepada ZDF Sport Studio.

"Sebab itu situasi begitu berlaku."

Hoeness tentunya tidak akan dapat mengetahui pemain mana yang memiliki kuasa besar dalam skuad tatkala mereka meraih kemenangan 4-0 ke atas Borussia Dortmund dalam pertemuan Klassiker, kelmarin.

Keputusan itu menjadi kesinambungan kepada kemenangan 2-0 ke atas Olympiacos dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah dan mengukuhkan kedudukan pengendali sementara, Hansi Flick.

Bayern dilaporkan mahu menunggu sehingga penghujung musim untuk menamakan pengurus baru, di mana ia lebih mudah untuk mendapatkan khidmat Thomas Tuchel atau Erik ten Hag ke Allianz Arena.

"Ketika perbincangan yang akan berakhir dalam beberapa minggu lagi, kami akan bercakap mengenai Flick," katanya.

"Satu perkara yang jelas ialah setelah melalui minggu yang menakjubkan dan meraih dua kemenangan, anda tidak boleh ketepikan Flick untuk mendapatkan seseorang yang mungkin dapat berkhidmat selama beberapa bulan."