Hoeness: Pemain tidak sebulu dengan Ancelotti

Oleh Penulis Jemputan 29 September 2017 2581
Hoeness: Pemain tidak sebulu dengan Ancelotti
Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, mendedahkan bahawa tempat Carlo Ancelotti sebagai pengurus pasukan sebelum ini menjadi goyah selepas beberapa pemain tidak bersetuju dengan pendekatan yang dibawanya.

Semalam, Ancelotti telah dipecat susulan kekalahan 0-3 di tangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan permulaan tidak konsisten dalam saingan Bundesliga.

Selepas pengumuman dilakukan, ketua pegawai eksekutif kelab, Karl-Heinz Rummenigge, menjelaskan langkah itu diambil selepas kegagalan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, namun Hoeness percaya masalah di bilik persalinan menyebabkan pemecatan pengendali dari Itali itu.

"Terdapat lima pemain yang menentang Ancelotti.

"Agak mustahil untuk lari daripada perkara itu," kata Hoeness.

Antara bintang Bayern yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi pasukan sebelum ini adalah Robert Lewandowski, Thomas Muller dan Arjen Robben.

Ketika ditemui, bekas pengendali AC Milan, Real Madrid dan Chelsea itu menolak untuk memberikan sebarang komen.

"Saya tidak mahu berkata apa-apa tetapi akan mengeluarkan kenyataan," ujarnya.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen