Pengendali skuad B-19 tahun negara, Bojan Hodak, mengakui pasukannya perlu lebih ampuh bertahan untuk menangani kekuatan Korea Selatan dalam aksi terakhir kelayakan Kejohanan AFC B-19 tahun di Paju, Korea Selatan, esok.

Bagi Hodak, barisan pertahanan perlu memastikan jentera serangan Korea tidak bergerak dengan mudah pada hari perlawanan.

Hodak turut mahu pemain bijak melancarkan gerakan serangan balas pantas untuk memerangkap lawan.

“Secara teknikal dan taktikal, Korea Selatan adalah pasukan yang jauh lebih baik dalam saingan kali ini. Mereka antara yang terbaik di Asia. Jadi, ia lebih sukar untuk berdepan mereka.

"Kami perlu bertahan lebih kukuh di bahagian tengah dan bahagian bawah. Kami tidak boleh memberikan ruang kerana kerana mereka akan menghukum sekiranya ada kesilapan,” kata Hodak.

Penyerang dari Perlis, Zafuan Azeman dan juga bek kiri, Nabil Hakim Bokhari, tidak akan beraksi esok kerana belum pulih daripada kecederaan masing-masing.

Namun, Hodak tidak gusar tanpa dua pemain itu memandangkan moral pemain kini berada pada tahap terbaik selepas kemenangan 4-1 ke atas Indonesia.

Hodak juga optimis, skuad negara berupaya memberikan saingan berdepan Korea.

“Sudah tentu, ramai pihak menjangkakan Korea Selatan akan mengatasi kami, tetapi kami akan berusaha mengejutkan mereka.

"Ia adalah perlawanan 11 lawan 11, saya pasti semua pemain saya akan memberikan yang terbaik. Moral mereka berada di tahap tinggi selepas perlawanan semalam (menewaskan Indonesia 4-1).”

Kemenangan ke atas pasukan tuan rumah bakal menyaksikan Malaysia muncul juara kumpulan, sekaligus layak ke pusingan akhir di Indonesia tahun depan.