Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengetepikan lamaran kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Indonesia demi menghormati kontrak yang masih berbaki setahun bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Khabar angin kuat bertebaran mengenai perubahan haluan Hodak yang mungkin kembali mewarnai saingan Liga M musim depan.

Mengakui beberapa kelab di Malaysia ada merisik pengendali kelahiran Croatia itu, Hodak bagaimanapun terpaksa mengetepikan tawaran lumayan demi membuka laluan buat perkembangan akar umbi bola sepak Malaysia.

"Kontrak saya masih berbaki setahun lagi, saya tidak akan ke mana-mana.

"Saya sudah melatih pemain yang dilahirkan di antara 1999 dan 2000, kini kami perlu beralih kepada generasi pemain yang dilahirkan pada 2001 dan 2002.

"Generasi 2001 merupakan kalangan pemain yang tercicir kerana ini kelompok generasi terakhir yang tidak dapat menyertai Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP)," katanya.

Khabarnya, Selangor dan beberapa pasukan sekitar Lembah Klang ada menghubungi Hodak bagi persediaan musim depan selain kelibat jurulatih ini turut mendapat perhatian beberapa kelab di Indonesia.

Hodak, bagaimanapun, lebih teruja untuk memulakan penilaian awal skuad B-19 musim depan yang majoritinya berwajah baru.

Lebih menarik, ia turut menampilkan barisan pertama pemain daripada NFDP dengan Hodak meletakkan sasaran tinggi ke atas pemain yang bakal dibentuk seawal tahun depan.

"Semuanya kembali bermula dari bawah.

"Saya perlu mengadakan ujian untuk mengenal pasti fizikal dan mentaliti mereka," katanya.