Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, semakin hampir dalam proses untuk mengenal pasti 23 pemain terbaik yang akan membawa cabaran negara dalam kelayakan Kejohanan AFC di Korea Selatan, hujung bulan ini.

Ketika ini, 31 pemain berada dalam kem latihan pusat dengan lapan daripada mereka adalah muka baru yang ingin diuji Hodak.

Daripada jumlah itu, hanya Khairul Akhyar Rashid diberi pelepasan untuk bersama Kedah yang menghadapi Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dalam final kedua Piala Belia di Alor Setar, esok.

Selepas aksi persahabatan menentang UiTM FC semalam, Hodak akan menggugurkan lima pemain.

"Kami mempunyai Akhyar dan seorang lagi pemain dari Kelantan kerana skuad itu sudah tersingkir daripada Piala Presiden. Kami juga akan ada seorang lagi penjaga gol.

"Ia akan menjadikan seramai 26 pemain nantiasw dan dalam kelompok itu, kami akan memilih pasukan untuk dibawa ke Korea Selatan," katanya.

Dalam perlawanan persahabatan Jumaat lalu, Skuad B-19 negara menewaskan MISC-MIFA 3-2.

Secara keseluruhan, Hodak percaya kesemua pemain semakin serasi antara satu sama lain dengan komunikasi yang lebih baik di atas padang.

Malah, dia kini juga berpuas hati dengan tahap kecergasan setiap pemain selepas melakukan ujian bersama Institut Sukan Negara (ISN).

"Pasukan ini beraksi lebih baik berbanding perlawanan sebelum ini. Kami sebelum ini mempunyai masalah, salah seorang pemain dari Sarawak tidak berlatih dengan betul.

"Dia tidak berada di tahapnya dan harus pulang. Selain itu, kecergasan pemain lain berada di tahap normal. Jadi, dalam 10 hari ini, ia agak mencabar," tambahnya.

Cabaran skuad negara dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 akan bermula dengan menentang Timor Leste pada 31 Oktober.

Malaysia selepas itu akan menentang Brunei dan Indonesia sebelum aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu tuan rumah, Korea Selatan, pada 8 November.