Hodak janji turunkan kesebelasan terbaik bertemu Indonesia

Oleh Penulis Jemputan 5 November 2017 1502
Hodak janji turunkan kesebelasan terbaik bertemu Indonesia
Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, tetap memburu keputusan positif walaupun mengakui pasukannya akan berdepan cabaran sengit Indonesia dalam perlawanan ketiga Kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Paju, Korea Selatan, esok.

Katanya, skuad muda Indonesia beraksi sebagai satu pasukan dalam tempoh lebih panjang berbanding pasukan negara.

Namun, ketika Indonesia tewas 4-0 di tangan Korea Selatan semalam, Hodak mengesan beberapa kelemahan skuad muda Garuda itu.

"Jika mahu mempunyai peluang untuk layak, kita perlu memenangi perlawanan menentang Indonesia.

"Ia perlawanan yang sukar kerana, bagi saya, mereka adalah pasukan terbaik di Asia Tenggara. Mereka bermain dengan teknik terbaik, mereka sudah bekerjasama selama dua, tiga tahun.

"Kami harus lebih fokus, kalau tidak fokus ketika menentang Indonesia dan Korea Selatan, kami boleh dihukum," katanya.

Dalam kemenangan 1-0 Malaysia ke atas Brunei semalam, Hodak merehatkan ramai tonggak utama.

Namun, dia mengakui akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk aksi dengan Indonesia kali ini.

"Kami akan bermain dengan kesebelasan terbaik esok, kebanyakannya bermain menentang Timor-Leste.

"Hanya Zafuan (Azeman), yang menjaringkan gol ketika menentang Brunei, tidak akan bermain akibat kecederaan ringat. Dia tidak akan pulih untuk perlawanan esok," katanya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen