Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, berharap ketua jurulatih pasukan senior, Tan Cheng Hoe, tidak mensia-siakan kelibat dua tonggak muda, Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat, dengan sekadar meletakkan mereka mengisi bangku simpanan dalam dua aksi persahabatan skuad kebangsaan.

Kedua-dua pemain itu hanya akan kembali ke pangkuan skuad B-19 Rabu depan, iaitu hari yang sama mereka berlepas ke Jakarta, Indonesia, bagi menghadapi saingan Kejohanan AFC 2018.

Situasi itu menyebabkan mereka bukan sekadar terlepas dua aksi persahabatan tertutup menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), malah sesi latihan yang berbaki seminggu dari sekarang juga gagal menampilkan kelibat kedua-dua pemain itu bersama Hodak.

Tidak mempunyai pilihan lain, Hodak terpaksa akur tetapi dalam masa sama mengharapkan kelibat dua pemain utamanya itu bukan sekadar makan angin sepanjang kem latihan bersama pasukan senior dan menggunakan kesempatan sebaik-baiknya dalam aksi berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

"Masalah utama yang dihadapi Nik Akif adalah dia beraksi di posisi berbeza dalam skuad Kelantan dan kebangsaan. Dia lebih dekat dengan gol dalam pasukan B-19 tetapi lebih ke bawah ketika bersama Kelantan.

"Jadi, ini adalah sesuatu yang perlu dilihat dan saya menjangkakan kami akan berdepan masalah dengannya dalam aksi pertama," ujar Hodak.

Perlawanan persahabatan tertutup bertemu UAE semalam berakhir dengan kedudukan seri 1-1.

Ia memberi petanda baik, namun Hodak tetap mengambil kira kepenatan pihak lawan menerusi perbezaan masa dan juga cuaca di Malaysia.

"Keputusan 1-1 adalah hasil yang baik tetapi masih ada perkara yang perlu dipertingkat.

"Kami cuba untuk mendapatkan keyakinan kerana perlawanan pertama kami nanti akan berdepan Arab Saudi. Mereka jelas memiliki kelebihan fizikal, lebih besar dan kuat berbanding kami."