Hodak gembira skuad kini lengkap

Oleh Penulis Jemputan 2 Oktober 2018 2347
Hodak gembira skuad kini lengkap
Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, lega persediaan ke Kejohanan AFC kini lengkap dengan kehadiran tonggak Kelantan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, dan pemain Felda United, Zahril Azri Zabri, hari ini.

Di sebalik kekecewaan Kelantan dan Felda United gagal mara ke separuh akhir Piala Malaysia, ia jelas menjadi satu kelegaan buat Hodak yang memiliki skuad sempurna dengan kehadiran dua pemain itu.

Nik Akif dan Zahril Azri diakui menjadi tonggak utama pasukan untuk saingan di Indonesia yang turut menawarkan empat slot ke Piala Dunia B-20 di Poland.

"Semua pemain berada di sini, jadi kami akan ke Qatar dengan saya melakukan beberapa pertukaran kerana mahu mencuba beberapa pemain yang tampil cemerlang ketika latihan.

"Ada juga pemain yang tidak bermain dengan baik ketika latihan dan saya tinggalkan mereka. Apabila pulang, kami akan berdepan dua lagi perlawanan sebelum saya membuat kata putus mengenai senarai akhir pemain," kata Hodak.

Dalam sesi latihan pagi ini, kedua-dua pemain itu cergas tanpa sebarang kecederaan, sekali gus memudahkan perancangan Hodak untuk aksi persahabatan di Qatar sebelum keseluruhan pemain dinilai bagi sesi pemilihan senarai akhir ke Jakarta.

"Terdapat 28 pemain yang ada ketika ini dan semua mahu beraksi dalam saingan Kejohanan AFC, jadi saya tidak berdepan masalah untuk meraih motivasi mereka.

"Lebih mudah untuk bekerjasama dengan mereka apabila sasaran dimiliki."

Mereka akan ke Qatar esok untuk aksi persahabatan Jumaat ini sebelum berdepan cabaran sebenar bermula 18 Oktober hingga 4 November depan.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen