Pengendali skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak, berbangga dengan kematangan yang ditunjukkan anak buahnya dalam aksi persahabatan berdepan Selangor semalam walaupun tewas 2-1.

Selangor meraih dua gol menerusi penyerang import, Rufino Segovia, pada minit ke-23 dan 60 manakala skuad bawah 19 tahun merapatkan jurang gol menerusi Nik Akif Syahiran pada penghujung permainan.

Hodak menyifatkan aksi sukar seperti dengan Selangor adalah persediaan yang baik buat pasukan kendaliannya sebelum menghadapi saingan kelayakan AFC Bawah 19 Tahun di Korea Selatan bermula 31 Oktober ini.

“Saya berasakan pemain telah mula bermain dengan baik, tetapi masalah untuk beraksi di dalam tekanan, ia menjadi kelemahan mereka. Ketika pasukan lawan memberikan asakan, ia telah menggugat gaya permainan kami tetapi secara keseluruhan, saya berpuas hati,” kata Bojan.

Sementara itu, penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak, turut berpuas hati dengan semangat melawan pasukan ketika berdepan Selangor dan yakin mereka berada pada landasan tepat menjelang saingan di Korea Selantan nanti.

“Berdepan Selangor, ia merupakan satu pengalaman yang baik buat setiap pemain. Kami mula menyesuaikan diri dengan permainan sejak permulaan separuh masa kedua. Walaupun tewas, ia telah memberikan satu pengajaran yang baik untuk menghadapi perlawanan akan datang,” kata Hadi.