Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, bakal menguji kombinasi berbeza tanpa kehadiran Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid ketika berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Aksi kedua-dua pasukan akan dilangsungkan secara tertutup tanpa kehadiran penonton dan pihak media dan Hodak akan cuba menurunkan beberapa pemain baru selepas kurang berpuas hati dengan prestasi tonggak utama, terutama di bahagian sayap, dalam aksi persahabatan dengan Qatar yang berkesudahan Malaysia tewas 3-1.

"Kami bermain dengan sukar berbekalkan dua penyerang. Kami juga berdepan masalah di bahagian sayap, jadi saya ingin mencuba sesuatu yang baru untuk aksi malam ini.

"Kami juga akan melihat kepada bahagian situasi bola mati yang mungkin menjadi kelebihan buat UAE," kata Hodak.

Nik Akif dan Akhyar sedang bersama dengan skuad kebangsaan di Melaka bagi menghadapi dua aksi persahabatan berdepan Sri Lanka dan Kyrgyzstan.

Sementara itu, Hodak mengesahkan dia tidak dapat menggunakan khidmat penjaga gol skuad Piala Presiden Selangor, Fawzal Abdul Muthalib, ekoran masalah kecederaan jari.

Ia menjadikan hanya tiga penjaga gol yang tinggal, iaitu Azri Abdul Ghani, Shafiq Afiq Suhaimi dan Syakir Danial Ma'amal Hajri, yang hampir pasti tersenarai ke Indonesia.

"Sekarang, kami berdepan masalah di bahagian penjaga gol. Disebabkan kecederaan, kami hanya memiliki tiga penjaga gol berbanding lima sebelum ini.

"Ini situasi yang berlaku ketika ini."