Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, mengakui kegagalan pasukannya untuk bertahan dengan baik ketika 'set-piece' menjadi punca tewas 3-1 kepada Bengaluru FC dalam separuh akhir kedua Piala AFC, malam tadi.

Johor mendahului perlawanan menerusi gol pembukaan kapten, Safiq Rahim, seawal minit ke-11, sekaligus meletakkan JDT mendahului dengan agregat 2-1.

Namun, Bengaluru kembali menyamakan kedudkan menerusi jaringan kapten, Suni Chhetri, setengah jam kemudian.

Chhetri sekali lagi menjadi pemusnah apabila meledak gol kedua pada minit ke-68 sebelum Juan Antonio menyumbat gol ketiga perlawanan untuk memastikan mereka mara dengan agregat 4-2.

Gomez melihat kegagalan pasukannya bertahan ketika situasi 'set piece' menjadi punca misi penyandang juara Piala AFC itu dikecewakan.

"Ketika beraksi dalam separuh akhir, penting untuk kekal berjuang di samping mempamerkan karektor dan fokus," katanya sebagaimana dipetik dalam laman web rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

"Kami mendahului 1-0 tetapi pemain hilang tumpuan ketika sepakan percuma dan sepakan sudut, jadi itulah punca kami tewas."

Pengendali kelahiran Argentina itu turut mengakui ketiadaan Jorge Pereya Diaz dan Juan Martin Lucero -- kedua-duanya digantung perlawanan -- turut menyukarkan JDT untuk memberi tentangan.

"Saya bangga dengan pemain saya yang telah bermain dengan keazaman tinggi sehingga tamat perlawanan.

"Kehilangan pemain tonggak akan memberikan impak kepada mana-mana pasukan, termasuklah kami.

"Kami perlu melihat kekalahan ini sebagai satu pengajaran."