Jorge Sampaoli sekali lagi meminggirkan Gonzalo Higuain daripada skuad Argentina, namun penyerang Juventus itu menegaskan tiada apa yang perlu dibuktikannya.

Higuain tidak tersenarai dalam skuad Argentina sejak kemenangan 1-0 dalam perlawanan persahabatan dengan Brazil, Jun lalu -- sentuhan pertama Sampaoli sejak mengambil alih kerusi panas itu daripada Edgardo Bauza.

Pemain berusia 29 tahun itu mengalami permulaan yang sukar dengan Juventus musim ini apabila hanya mencetak empat gol dalam 12 penampilan, selain kelibatnya terlepas pandang dalam aksi kelayakan Piala Dunia menentang Peru dan Ecuador.

Lionel Messi memastikan Argentina tidak akan terlepas dalam pusingan akhir di Russia tahun depan dengan melakar hatrik di Quito. Untuk itu, Sampaoli tidak fikir Higuain boleh melakukan apa-apa lagi untuk cuba merebut tempat dalam skuad.

"Higuain adalah seorang pemain yang kehadirannya dirasai. Saya tahu apa yang mampu ditawarkannya, tiada apa-apa yang perlu dia buktikan," kata bekas ketua jurulatih Sevilla itu.

"Terpulang kepada kami untuk membuat penilaian dan memutuskan sama ada dia akan pergi ke Piala Dunia atau tidak."

Sergio Aguero kembali tersenarai selepas kecederaan tulang rusuk akibat kemalangan kereta yang menyebabkannya terpinggir dalam aksi sebelum ini, manakala Matias Kranevitter dan Diego Perotti turut terpilih.

Argentina akan berdepan Russia di Moscow pada 10 November dengan satu lagi perlawanan dijangka akan disahkan tidak lama lagi.

Jurulatih Argentina itu bakal menambah pemilihan pemain pada Jumaat depan dengan pemain domestik.

Skuad Argentina:

Sergio Romero (Manchester United), Nahuel Guzman (Tigres UANL), Agustin Marchesin (Club America); Javier Mascherano (Barcelona), Federico Fazio (Roma), Gabriel Mercado (Sevilla), Nicolas Otamendi (Manchester City), German Pezzella (Fiorentina); Eduardo Salvio (Benfica), Lucas Biglia (AC Milan), Ever Banega (Sevilla), Marcos Acuna (Sporting CP), Leandro Paredes (Zenit), Emiliano Rigoni (Zenit), Matias Kranevitter (Zenit), Alejandro Gomez (Atalanta), Diego Perotti (Roma); Lionel Messi (Barcelona), Sergio Aguero (Manchester City), Mauro Icardi (Inter), Angel Di Maria (Paris Saint-Germain), Paulo Dybala (Juventus).