Gonzalo Higuain memberi isyarat saingan di Amerika Syarikat (MLS) mungkin menjadi destinasi pilihannya jika dia tiada dalam perancangan pengurus Juventus baru, Andrea Pirlo.

Penggempur berusia 32 itu telah menyertai Juve sejak 2016 selepas berpindah daripada musuh Serie A, Napoli, yang menyaksikannya menikmati musim pertama yang memberangsangkan di Turin menerusi koleksi 32 gol tetapi prestasi agak hambar pada musim berikutnya.

Dengan ketibaan Cristiano Ronaldo pada 2018, Higuain dianggap sebagai watak sampingan selain pernah melalui tempoh mengecewakan ketika dipinjamkan ke Milan dan Chelsea.

Higuain beroleh satu lagi peluang susulan pelantikan bekas pengurusnya di Napoli, Maurizio Sarri, tahun lalu dan biarpun gandingan mereka gagal mencetuskan impak ketika di Chelsea.

Begitupun, jumlah 11 jaringan dalam 43 perlawanan ini bukan petanda baik untuk masa depannya, apatah lagi Sarri dipecat susulan Juve disingkirkan Lyon dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL).

Higuain menegaskan belum memuktamadkan keputusannya memandangkan dia masih perlu berbincang dengan Pirlo sambil menggambarkan kepulangan ke Argentina nampaknya tidak mungkin direalisasikan kerana kerana dia lebih cenderung untuk mengikuti abangnya, Federico, yang menikmati kancah MLS.




"Saya tidak merindui bola sepak Argentina meskipun saya gemar menontonnya," katanya kepada Fox Sports.

"Saya memulakan karier saya di sana dan hari ini, Argentina harus membuka matanya kerana begitu ramai pemain yang ragu-ragu untuk kembali, terutama demi masa depan keluarga mereka.

"Ramai pemain yang berhijrah ke AS, China mahupun Arab Saudi pada usia 25 tahun. Saya hanya angkat kaki kerana ketika itu ia adalah Real Madrid.

"Saya akan berehat dan memikirkannya. Saya akan kembali ke Itali Isnin depan. Saya harus memperkenalkan diri saya (kepada Pirlo) dan lihat apa yang berlaku dengan pengurus baru. Saya pasti akan ada perbezaan dinamik pasukan.

"Ramai pemain yang pergi ke MLS, ia bagus tapi sekarang saya berasa di sini, jadi kita lihat apa yang akan berlaku kelak."

Apa pun yang berlaku dalam tempoh terdekat ini, Higuain menggambarkan masanya tidak akan melibatkan bidang pengurusan sekiranya dia memilih untung menggantungkan but- dia sebaliknya ingin bekerjasama dengan "generasi seterusnya".

"Saya tidak akan menjadi jurulatih kerana kesan tekanan mental dan fizikal yang perlu ditanggung," katanya.

"Semua jurulatih tiba dengan rambut hitam dan tiga tahun kemudian, rambut mereka berubah menjadi kelabu. Saya mahu generasi seterusnya belajar dan tahu apa ertinya menjadi seorang pemain bola sepak, ia bermakna anda tidak akan beraksi di samping rakan sebaya anda.

"Saya ingin menunjukkan kepada mereka mengenai apa yang pernah saya alami. Anak muda hari ini sangat peka dengan apa yang akan mereka katakan selain dipengaruhi oleh apa yang diberitahu oleh ibu bapa mereka mengenai saya. Oleh itu, pembelajaran mereka berbeza.

"Saya rasa perkembangan di Eropah adalah berbeza, saya lebih dihormati di luar negara berbanding di Argentina."