NAPOLI 0 JUVENTUS 1

Penggempur Juventus, Gonzalo Higuain, mendakwa dia tercari-cari Presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis, ketika meraikan jaringan tunggal perlawanan dalam pertembungan Serie A itu, awal pagi tadi.


Higuain mencetak gol kelima dalam pertemuan kelimanya dengan bekas kelabnya itu sebelum berhijrah ke Juventus dengan tanda harga €90 juta (RM437.9j), dua musim lalu.

Penyerang kelahiran Argentina itu sering bertikam lidah dengan De Laurentiis berhubung langkah perpindahan itu, lalu dia meraikan golnya di Stadio San Paolo itu dengan meletakkan tangan di keningnya sambil memandang ke arah tempat duduk penyokong.

Sejurus perlawanan berakhir, Higuain menjelaskan isyarat itu diberikan kepada pemilik Napoli itu, dengan berkata kepada Sky Sport Italia: "Saya mencari-carinya, namun tidak nampak. Mungkin dia sedang menyorok."

Dalam masa sama, pengendali Juve, Massimiliano Allegri, menegaskan Napoli masih lagi pasukan pilihan untuk menjuarai Serie A biarpun mereka menang tipis 1-0.

Hasil ledakan Higuain itu -- yang beraksi meskipun baru menjalani pembedahan minggu ini akibat keretakan tangan kiri -- meletakkan Juve kini hanya dipisahkan satu mata dengan peneraju liga itu.

Allegri berkata kepada Mediaset Premium: "Malam ini adalah ujian yang bagus. Pemain-pemain mencipta beberapa peluang pada separuh masa pertama dan berjaya mendahului perlawanan.

"Napoli menguasai sebahagian besar permainan pada babak kedua dan terus memberi tekanan, namun kami tidak memberi banyak ruang kepada mereka. Lagipun, Pepe Reina mampamerkan aksi menyelamat mengagumkan ketika menghalang percubaan Blaise Matuidi.

"Kami satu mata di belakang Napoli, ia satu keputusan yang baik tetapi kami harus terus memandang ke hadapan kerana perlu berjuang untuk pusingan 16 Liga Juara-Juara.

"Kami harus memuji Napoli yang telah mempamerkan persembahan menarik, sudah tentu mereka adalah calon utama untuk memenangi Scudetto selain memberikan corak sangat menarik dalam bola sepak," tambahnya.

Inter Milan berpeluang merampas tampuk liga sekiranya menang ke atas Chievo esok manakala Roma tercicir empat mata dengan kelebihan satu perlawanan.