Penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, telah menjalani pembedahan tangan kirinya dan berkemungkinan akan terlepas aksi berdepan Napoli.

Pemain kebangsaan Argentina itu berada di bangku simpanan ketika Juve melakar kemenangan 3-0 ke atas Crotone, dan telah dilaporkan mengalami kecederaan pada tangan kirinya.

Juve mengesahkan menerusi laman web rasminya bahawa tangan kiri Higuain patah dan telah selesai menjalani pembedahan.

The Bianconeri, bagaimanapun, tidak mendedahkan ketersediaan Higuain untuk beraksi tetapi berkemungkinan besar bakal terlepas aksi berdepan Napoli.

Higuain menjaringkan lapan gol dalam 13 penampilan musim ini, dengan beraksi selama tiga musim bersama Napoli pada 2013 hingga 2016.

Juve kini menghuni tangga ketiga Serie A, ketinggalan empat mata kepada Napoli.