Penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, kembali berlatih bersama pasukan itu menjelang pertemuan "Derby della Mole" dengan Torino di Turin awal pagi esok.

Higuain direhatkan ketika pasukannya mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas Genoa awal pagi semalam kerana mengalami hentakan di kepala ketika bertembung dengan penjaga gol Lecce, Gabriel, hujung minggu lalu.

Pemain berusia 31 tahun itu mendapat rawatan di padang dengan menerima beberapa jahitan di kepalanya selepas meneruskan minit-minit terakhir perlawanan.

Bagaimanapun, Juve mengesahkan dalam laman web rasmi mereka bahawa Higuain sudah mula berlatih bersama rakan sepasukannya dan berkemungkinan diturunkan ketika berkunjung ke laman seteru setempat, Torino.

Miralem Pjanic, yang turut terlepas aksi menentang Genoa, menjalani latihan berbeza untuk memulihkan kecederaan otot yang dialaminya minggu lalu.

Cristiano Ronaldo menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-96 untuk Juventus menewaskan Genoa dan memintas Inter Milan di kedudukan teratas Serie A.