Juventus masih belum melengkapkan perjanjian dengan AC Milan untuk urusan melibatkan penyerang, Gonzalo Higuain, kata pengarah kelab, Giuseppe Marotta.

Pemain berusia 30 tahun itu dilaporkan bakal menyertai skuad Rossoneri melalui proses pinjaman bernilai EUR18 juta (RM85 juta), termasuk pilihan untuk menjadikan ia perpindahan tetap bernilai EUR36 juta (RM170 juta).

Wakil rasmi Juve dan Milan dikatakan telah bertemu semalam untuk menyemak segala dokumen terakhir dalam perjanjian, sambil membincangkan tentang kebarangkalian pertukaran melibatkan Leonardo Bonucci dan Mattia Caldara.

Bagaimanapun, Marotta mendakwa masih belum ada sebarang kata putus atau persetujuan yang telah dicapai.

Apabila ditanya sama ada segala persetujuan telah diraih melibatkan masa depan Higuain, dia memberitahu barisan wartawan di Milan: "Belum lagi."

Higuain membantu Juve meraih kejuaraan domestik selama dua tahun berturut-turt selepas meninggalkan Napoli pada 2016 menerusi perpindahan bernilai EUR90 juta (RM425 juta).

Bagaimanapun, ketibaan Cristiano Ronaldo ke Itali melalui yuran berjumlah EUR112 juta (RM532 juta) memaksa dia untuk memikirkan cabaran baru bersama pasukan lain.