Gonzalo Higuain tidak pasti sama ada dia akan meninggalkan Juventus untuk kembali River Plate, namun penyerang itu berhasrat untuk bersara di bekas kelab remajanya itu.

Khidmat pemain berusia 32 tahun itu juga menjadi sasaran kelab kancah Amerika Syarikat (MLS), LA Galaxy dan DC United -- sejak menyerlah dalam skuad remaja River pada 2005 sebelum menyertai gergasi LaLiga, Real Madrid, dua tahun kemudian.

Bercakap mengenai masa depannya dan penggabungan semula dengan River, Higuain memberitahu TyC Sports: "River adalah kelab yang memberikan saya segalanya apabila membiarkan saya berkembang hingga Real Madrid sanggup membeli saya, tetapi sekarang saya belum tahu apa yang akan terjadi. Saya masih ada di sini (di Turin).



"Pasukan kendalian (Marcelo) Gallardo itu sangat mengasyikkan, mereka mempunyai kualiti, kekuatan, kesemuanya.

"Apabila anda menonton aksi mereka sambil pemain nombor sembilan mereka mendapat banyak peluang, jadi seseorang yang penah mewakili River sebelum ini dan yang menyaksikan pasukan ketika ini pasti akan melihat diri sendiri di sana lalu berkata, 'betapa menariknya'.

"Gallardo telah menarik perhatian semua orang dan dia memang berhak. Saya bercadang untuk kembali ke River dan bersara."

Sebelum wabak koronavirus baru (Covid-19) melanda dunia yang menyebabkan Serie A tertangguh sejak Mac lalu, penggempur itu telah meledak lima gol dalam 23 penampilan.

Secara keseluruhan, Higuain menyumbat lapan gol buat skuad yang dikemudi Maurizio Sarri itu pada 2019-20.