Gonzalo Higuain mendedikasikan jaringannya sehingga memberikan kemenangan 2-1 buat AC Milan ke atas SPAL kepada pengendali Rossoneri, Gennaro Gattuso.

Higuain melalui sembilan perlawanan tanpa sebarang jaringan sehingga aksi awal pagi tadi di San Siro tatkala Milan mengalami masalah prestasi sehingga posisi Gattuso menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, Higuain menjaringkan gol dari jarak dekat buat Milan pada minit ke-64 -- sebelum Suso diperintah keluar padang akibat kad merah -- sekali gus menamatkan lima aksi tanpa kemenangan.

Sebelum itu, Samu Castillejo terlebih dahulu memadamkan pendahuluan lawan yang meraih jaringan menerusi Andrea Petagna.

Terdapat laporan mengatakan Gattuso bakal dipecat sekiranya gagal mendapatkan keputusan positif tetapi Rossoneri kini menuju rehat dua minggu dengan semangat tinggi bagi menghadapi aksi Piala Itali berdepan Sampdoria serta Piala Super Itali menentang Juventus.

Dan Higuain pantas mendedikasikan jaringan itu buat pengendali tersebut selepas mereka kini dibezakan satu mata dengan slot ke Liga Juara-Juara Eropah.

"Ia adalah jaringan serta tiga mata penting selepas mensia-siakan peluang sebelum ini. Kini, kami boleh berehat bersama keluarga," kata Higuain.

"Ia normal apabila peminat mengharapkan sesuatu daripada saya. Saya ke Milan kerana diyakinkan dengan projek di sini dan saya mahu meneruskan usaha ini.

"Gattuso sentiasa menyokong saya tidak kira masa. Gol ini untuk dia. Kini, kami berpeluang untuk menjulang trofi pertama musim ini, Piala Super Itali, dan kami mahu memenanginya."