Bayern Munich mengesahkan Jupp Heynckes akan kembali bersama kelab itu sebagai ketua jurulatih sehingga penghujung musim ini selepas mereka mengambil keputusan untuk memecat Carlo Ancelotti.

Di sebalik membantu Bayern menjuarai Bundesliga musim lalu, Ancelotti telah dipecat pada penghujung bulan lalu selepas mereka tewas 3-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Terdapat laporan yang menyatakan Ancelotti telah kehilangan sokongan daripada beberapa pemain-pemain utama dalam bilik persalinan, yang menjadi faktor kejatuhannya. Ini meninggalkan tugas kepada kelab untuk mencari pengganti pengurus kelahiran Itali itu.

Dan mereka telahpun mendapatkan bekas pengendali The Bavarians, Heynckes, yang kembali daripada persaraan sejak empat tahun lalu.

Heynckes membantu Bayern menjuarai Bundesliga, DFB-Pokal dan Liga Juara-Juara (UCL) pada musim terakhirnya, menjadikan Bayern pasukan Jerman pertama yang meraih gelaran 'treble'.

Pengendali berusia 72 tahun itu kembali bersama Bayern yang ketinggalan lima mata kepada pendahulu liga, Borussia Dortmund, selepas tujuh perlawanan.