BAYERN MUNICH 3 CELTIC 0

Jupp Heynckes sekali lagi memberi jaminan kepada bintang terpinggir Bayern Munich bahawa mereka akan diberi kesempatan untuk menyerlah di sebalik keengganannya untuk melakukan perubahan drastik terhadap formula kemenangan pasukan itu.


Kelab gergasi Jerman itu merakamkan kemenangan kedua di bawah kendalian Heynckes yang kembali mengemudi skuad itu buat kali keempat, yang menyaksikan gol daripada Thomas Muller, Joshua Kimmich dan Mats Hummels memastikan kemenangan selesa 3-0 ke atas Celtic dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), awal pagi tadi.

Sebastian Rudy muncul satu-satunya pertukaran yang dibuat selepas mereka membelasah Freiburg 5-0 dalam pertembungan Bundesliga minggu lalu untuk mengambil tempat Javi Martinez yang dilanda kecederaan.

Dengan Arturo Vidal dan James Rodriguez tidak diturunkan dalam kesebelasan utama manakala Niklas Sule, Juan Bernat dan Corentin Tolisso berada di bangku simpanan, Heynckes sedar keperluan untuk mengekalkan keharmonian skuadnya.

"Adalah penting untuk membina momentum dan kemenangan dalam beberapa perlawanan awal, sama ada dalam Bundesliga atau UCL kerana kami memiliki impian untuk mara ke pusingan seterusnya," kata warga Jerman itu dalam sidang akhbar.

"Untuk itu, kami tidak mampu untuk melakukan eksperimen dengan muka baru.

"Namun, saya sudah bercakap dengan pemain-pemain yang tidak terbabit dalam aksi hari ini untuk memastikan mereka mempunyai peranan dalam pasukan ini, terutama menjelang tempoh sibuk nanti."

Bayern kini meraih enam mata dengan lapan gol selepas Heynckes dilantik menggantikan Carlo Ancelotti yang dipecat. Bagaimanapun, jurulatih berusia 72 tahun itu menegaskan masih ada ruang untuk diperbaiki.

"Kami mencipta banyak peluang dan tidak mengambil kesempatan itu sehingga membenarkan mereka peluang pula," katanya mengenai kemenangan itu.

"Kami agak cuai dan tidak boleh membenarkan perkara seumpama itu. Anda perlu sedar sepenuhnya mengenainya sejak dari mula lagi."