Jupp Heynckes berjanji akan mencari jalan penyelesaian dalam barisan serangan Bayern Munich apabila juara Bundesliga itu kehilangan Robert Lewandowski dan Thomas Muller dalam kunjungan mereka ke Celtic untuk aksi Kumpulan B, Liga Juara-Juara Eropoh, esok.

Muller terpaksa berehat akibat masalah paha dan Lewandowski -- yang menjaringkan 14 gol daripada 16 perlawanan dalam semua pertandingan musim ini --- mempunyai masalah sama dan dikeluarkan pada separuh masa pertama selepas menyumbat satu gol dalam kemenangan 2-0 ke atas RB Leipzig dalam Bundesliga, kelmarin.

Bayern akan melayakkan diri ke pusingan 16 terakhir jika mereka menang di Glasgow dan pemimpin kumpulan, Paris Saint-Germain (PSG), tidak tewas kepada Anderlecht seperti yang dijangka, tetapi ketua jurulatih, Heynckes, mengakui dia pening kepala untuk membuat pemilihan.

"Jelas, kecederaan ini tidak dijangka," katanya dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Bagaimanapun, saya akan mencari penyelesaian. Mungkin saya akan menggunakan formasi 4-4-2 tetapi saya akan membuat keputusan esok.

"Semua pasukan besar akan berdepan kesukaran ini tetapi kami selalu mencari penyelesaian dan ia akan kami lakukan.

"Kebimbangan saya adalah untuk melindungi pemain saya. Lewandowski tidak cergas 100 peratus, jadi tidak masuk akal untuk menurunkannya," tambahnya.

Bayern memenangi empat perlawanan dan seri sekali -- memenangi penalti menentang Leipzig dalam DFB-Pokal --- dalam lima perlawanan sejak Heynckes kembali ke Allianz Arena untuk menggantikan Carlo Ancelotti.

Kekalahan 3-0 di PSG membawa kepada pengakhiran jurulatih Itali itu dan meskipun Heynckes berhati-hati dengan suasana di Celtic Park, pemain pertahanan Bayern, Joshua Kimmich, sudah menanam impian untuk membalas dendam apabila pemimpin Ligue 1 itu berkunjung ke Bavaria pada Disember nanti.

"Saya sangat menantikan suasana yang hebat di sini. Sudah tentu, ia boleh memberi tekanan kepada anda," kata pemain antarabangsa Jerman itu.

"Diharapkan ia akan menjadi baik. Kami fikir kami boleh mengalahkan PSG di laman sendiri. Jadi, kami tidak boleh melakukan apa-apa kesilapan. Kami mempunyai pemain yang cedera tetapi matlamat kami adalah untuk menang."