Herrera berikan saya keyakinan -- Conceicao

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2018 119
Herrera berikan saya keyakinan -- Conceicao
PORTO 4 LOKOMOTIV MOSCOW 1

Ketua jurulatih Porto, Sergio Conceicao, berjanji untuk memastikan kemaraan pasukannya ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah selepas kapten pasukan, Hector Herrera, manjadi inspirasi ketika menewaskan Lokomotiv Moscow 4-1, awal pagi tadi.


Pemain kelahiran Mexico itu menjaringkan gol seawal minit kedua perlawanan di Estadio do Dragao yang menjadi pencetus kepada aksi meyakinkan Porto sebelum dia turut melorongkan bola untuk disudahkan Moussa Marega sebelum tamat babak pertama.

Jesus Corona dan Otavio melengkapkan kemenangan pasukan menerusi jaringan dalam babak berikutnya.

Conceicao mendedahkan bahawa Herrera pada awalnya belum pasti dapat diturunkan dalam perlawanan itu ekoran kecederaan yang dialaminya ketika berdepan lawan sama di Moscow, dua minggu lalu.

Namun, dia mengakui kehadiran pemain itu banyak membantu pasukannya beraksi dalam keadaan hujan lebat.

"Setiap yang mengenali saya pasti tahu saya tidak akan menipu," kata Conceicao kepada wartawan.

"Ketika di Russia, dia mengalami ketegangan otot dan tidak dapat ke sesi latihan selepas itu.

"Dia dirawat, namun masih belum pulih sepenuhnya.

"Kami melewati beberapa perlawanan sukar sebelum ini. Ditambah dengan keadaan hujan lebat, kelebihan fizikal amat penting buat kami.

"Pemilihan Herrera sememangnya memberi keyakinan buat saya," tambahnya.

Kemenangan itu menyaksikan Porto kini mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan dalam Kumpulan D.

Mereka kini berkelebihan dua mata  mengatasi pencabar terdekat, Schalke.

Keputusan seri selepas ini sudah cukup untuk melayakkan mereka ke pusingan seterusnya, namun Conceicao menyatakan pasukannya itu sentiasa dahagakan kemenangan.

"Kami akan memastikan tiga mata diperoleh ketika berdepan Schalke untuk memastikan laluan kami ke pusingan 16.

"Kami perlu berwaspada walaupun kami kini berada di kedudukan yang baik.

"Kami memerlukan rehat dan memikirkan aksi bertemu Sporting Braga (dalam saingan liga) yang sentiasa memberi kesukaran buat kami, hujung minggu ini," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen