Lucas Hernandez mengalami kecederaan otot sewaktu Bayern Munich menewaskan Fortuna Dusseldorf, kata pengurus pasukan, Hansi Flick.

Selepas menewaskan Borussia Dortmund 1-0 Selasa lalu, Bayern turun dengan hanya melakukan satu pertukaran dalam kesebelasan utama, di mana Hernandez menggantikan Jerome Boateng selaku bek tengah.

Ia merupakan kali kedua pemain Perancis itu berada dalam kesebelasan utama tahun ini selepas berehat selama tiga bulan akibat kecederaan buku lali yang dialami Oktober lalu.

Hernandez -- yang hadir daripada Atletico Madrid sebelum permulaan musim 2019-20 -- digantikan oleh Michael Cuisance sewaktu rehat ketika Bayern mendahului 3-0 sambil Joshua Kimmich beralih ke bek tengah.

Flick mendedahkan ia sebagai langkah berjaga-jaga.

"Hernandez mengalami masalah otot. Berdasarkan kedudukan ketika itu, risikonya sangat tinggi dan kami tidak mahu mengambilnya," kata pengendali itu.

Kejuaraan Bundesliga kelapan berturut-turut tampak semakin hampir buat Bayern sambil melangkah ke separuh akhir DFB Pokal dan memiliki kelebihan 3-0 dalam pusingan 16 saingan Liga Juara-Juara Eropah berdepan Chelsea sehingga Flick memuji mentaliti pemainnya.

Mereka mendahului menerusi jaringan sendiri Mathias Jorgensen sebelum Benjamin Pavard dan Robert Lewandowski melebarkan kedudukan.

Lewandowski meledakkan gol kedua peribadi selepas empat minit babak kedua bersambung dan Alphonso Davies melengkapkan kemenangan 5-0 buat Bayern.


"Kami mahu meraih musim yang berjaya tetapi masih banyak perlawanan," tambah Flick.

"Ia penting untuk saya, di mana kami tidak dibuai kemenangan ke atas Dortmund. Saya sangat berpuas hati dengan tahap agresif dipamerkan pasukan.

"Kami sentiasa cuba mendapatkan sentuhan terbaik dalam pasukan kerana emosi tidak hadir dari bangku penonton. Anda lebih dengar di atas padang."