Thierry Henry mendedahkan kesan yang diberikan Arsene Wenger dan Pep Guardiola ketika masih bergelar pemain tatkala dia memulakan karier selaku ketua jurulatih bersama Monaco.

Legenda Perancis itu diperkenalkan kepada media semalam selepas kembali ke kelab di mana dia memulakan karier selaku pemain profesional.

Jawatan di Monaco adalah yang pertama buat Henry dalam dunia kejurulatihan selepas menjadi sebahagian daripada staf skuad kebangsaan Belgium dan dia menyifatkan apa yang dipelajari daripada Wenger di Arsenal serta Guardiola di Barcelona adalah kunci kepada perkembangannya sebagai pengurus.

"Saya belajar daripada mereka yang saya raih ilmu, sama ada mereka mencabar saya atau kadangkala mereka melakukan kesilapan," kata Henry setelah menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab Ligue 1 itu.

"Wenger mencetuskan banyak perkara dalam minda saya dalam usaha bergelar pemain profesional serta bagaimana untuk tampil cemerlang.

"Anda belajar daripada orang ramai tetapi dalam masa sama memerlukan usaha anda sendiri.

"Guardiola adalah satu rujukan. Saya belajar semula cara untuk bermain ketika berada di Barca di bawah kendaliannya.

"Bersama Guardiola, anda hanya bercakap tentang permainan dan dia tidak akan tidur. Anda akan terlelap dan dia masih bercakap.

"Dia sentiasa ke depan dalam perlawanan," katanya.

Pengurus berusia 41 tahun itu mengambil-alih Monaco menggantikan Leonardo Jardim selepas Les Monégasques berada di tangga ke-18 liga.

Henry sedar dia berdepan tugas berat tetapi tidak teragak-agak untuk menerima tawaran daripada Monaco.

"Bagi saya, apabila menerima tawaran, ia sesuatu yang logik.

"Saya bermula di sini. Kelab sentiasa berada dalam hati saya, jadi untuk datang ke sini dan memulakannya semula adalah satu mimpi yang menjadi kenyataan."