Thierry Henry telah menandatangani kontrak selama tiga tahun untuk menjadi ketua jurulatih Monaco menggantikan Leonardo Jardim.

Henry menggantikan Jardim, yang dipecat pada Khamis lalu, selepas meraih hanya enam mata daripada sembilan perlawanan Ligue 1 yang menyaksikan Monaco terperosok di tangga ke-18.

Bekas legenda Arsenal itu melakukan penampilan sulung untuk Monaco pada 1994 sebelum berhijrah ke England, Barcelona dan New York Red Bulls.

Selepas dua tahun menimba pengalaman selaku penolong jurulatih Belgium, beliau kini mengambil tanggungjawab untuk membantu kebangkitan Monaco, yang menjuarai Ligue 1 dua musim lalu dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL).

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Monaco kerana memberikan peluang kepada saya mengendalikan kelab yang sangat istimewa bagi saya," kata Henry.

"Saya sangat gembira untuk kembali ke Monaco dan tidak sabar untuk berdepan cabaran baru. Saya tidak sabar untuk bertemu dengan pemain-pemain dan membantu pasukan bangkit semula untuk musim ini."

Naib presiden kelab, Vadim Vasilyev, menambah, "Pengetahuannya terhadap bola sepak, semangat serta komitmen yang ditampilkannya merupakan faktor kelab mendapatkan khidmatnya.

"Henry menyedari cabaran yang perlu dihadapi dan tidak sabar untuk menjalankan tugas bersama kelab."

Bersama The Gunners selama lapan musim -- dengan memenangi dua gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) -- dia muncul sebagai penjaring terbanyak kelab dengan 228 gol di samping menjulang trofi UCL ketika bersama Barcelona.

Henry juga merupakan penjaring terbanyak Perancis dengan 51 gol dan memenangi Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Beliau bakal mengendalikan Monaco buat kali pertama apabila berkunjung ke Strasbourg, Sabtu depan, sebelum aksi Liga Juara-Juara (UCL) berdepan Club Brugge empat hari kemudian.