Pengurus AS Monaco, Thierry Henry, meluahkan kelegaan selepas meraih kemenangan pertama sejak mengambil-alih pasukan apabila menundukkan Caen 1-0 dalam saingan Ligue 1, semalam.

Jaringan babak kedua oleh Radamel Falcao sudah cukup untuk memberikan Henry kemenangan sulung serta kedua buat Monaco musim ini.

Apa yang mengejutkan, walaupun lega, Henry tetap memberi amaran kepada pasukannya selepas meraih kemenangan tatkala mereka masih berada di zon penyingkiran, dengan mengingatkan mereka bahawa masih banyak perkara yang perlu diperbaiki.

"Kemenangan ini satu kelegaan besar. Kami perlukannya," kata Henry.

"Saya gembira untuk pemain dan peminat. Ia tidak dapat disembunyikan kerana dalam bola sepak, anda tidak akan tahu apa bakal terjadi.

"Kemenangan ini memberikan kami ketenangan tetapi ia hanya permulaan dan kami masih berada di zon penyingkiran.

"Banyak perlawanan yang masih perlu dihadapi."

Monaco kini menduduki tangga kedua terbawah dalam liga, dua mata daripada zon selamat.