Pengarah Sukan Paris Saint-Germain (PSG), Antero Henrique, mengecam ejen kepada Adrien Rabiot selepas pemain tengah itu dan Barcelona cuba memaksa penjualannya pada musim panas akan datang.

Rabiot, yang bakal mengakhiri kontrak penghujung musim ini, telah diketepikan daripada skuad PSG selepas mengesahkan ingin meninggalkan kelab Ligue 1 itu.

Ejen Rabiot yang juga ibunya, Veronique Rabiot, kemudian mengesahkan anaknya bakal meninggalkan Parc Des Princes sambil mengkritik kelab kerana menyekat perpindahan ke Barca ketika musim panas lalu.

Namun, menurut Henrique, pendekatan Barca beberapa hari sebelum jendela perpindahan ditutup ketika itu membuatkan pihaknya tampak tidak menemui jalan penyelesaian.

"Ibu Rabiot berkata kami menerima tawaran musim panas lalu. Ia benar, kami menerima tawaran pada 29 Ogos lalu, 20 jam sebelum jendela perpindahan ditutup," kata Henrique.

"Ia mudah. Situasi itu menerangkan bahawa Barca sudah pasti sudah meraih perjanjian dengan Rabiot sebelum datang berbincang dengan kami. Anda harus tahu bahawa Barca sangat teruk.

"Bagi kami, tawaran yang rendah itu sangat memeranjatkan. Nilai tawaran itu dilihat tidak menghormati pencapaian Rabiot di sini. Saya melihat kata sepakat tidak boleh dicapai untuk pemain seperti Rabiot dalam 24 jam.

"Jadi, tentunya Rabiot dan Barca telah mendapatkan persetujuan terlebih dahulu."

Tatkala Veronique mendedahkan anaknya tidak mencapai sebarang persetujuan dengan mana-mana kelab lain menjelang perpindahan percuma yang akan dilalui Jun depan, Henrique menyatakan rasa sangsi terhadap dakwaan itu.

"Saya mahu menjelaskan bahawa sejak kami melengkapkan perjanjian untuk memperbaharui kontrak pemain, wakil dan peguam Rabiot telah menghentikan perbincangan tanpa sebarang penjelasan," tambah Henrique.

"Saya pasti dia sudah meraih perjanjian dengan kelab lain. Apabila mereka menghentikan perbincangan, jelas sekali dia telah melakukannya.

"Adakah Rabiot akan berhijrah musim ini? Dia memberitahu saya bahawa dia tidak mahu kekal di PSG," ujarnya.