Henderson raih panggilan pertama skuad senior England

Oleh Staff Writer 9 Oktober 2019 1861
Henderson raih panggilan pertama skuad senior England
Dean Henderson mendapat panggilan pertama untuk bersama skuad senior England bagi menggantikan Tom Heaton yang cedera.

Penjaga gol itu, yang dipinjamkan Manchester United kepada Sheffield United, akan menyertai skuad kendalian Gareth Southgate itu di St George's Park esok.

"Keputusan itu dibuat selepas Heaton terpaksa pulang ke kelabnya bagi menjalani pemeriksaan lanjut berkenaan kecederaan yang dialaminya ketika Aston Villa menewaskan Norwich City hujung minggu lalu," kata Persatuan Bolasepak England (FA) dalam satu kenyataan.

Henderson, yang pernah mewakili skuad B-16 dan B-20 England, mencuri perhatian sejak bersama Sheffield United tahun lalu dengan membantu pasukannya layak ke Liga Perdana Inggeris.

Pemain berusia 22 tahun itu kembali menyertai The Blades, Julai lalu selepas menandatangani kontrak lanjutan selama tiga tahun bersama Manchester United.

"Inilah sebabnya kita perlukan impian... ia impian menjadi kenyataan untuk mendapat panggilan pertama bersama skuad senior England!!" ciapnya dalam Twitter.

England akan berdepan Republik Czech dan Bulgaria dalam pusingan kelayakan Euro 2020, masing-masing pada Jumaat ini dan Isnin depan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen