Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann, percaya dia hanya memiliki peluang yang tipis untuk memenangi Ballon d'Or selagi Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo belum bersara.

Bintang Barcelona itu dan seterunya dari Real Madrid telah mendominasi anugerah ini selama lapan edisi -- menyaksikan Messi merangkulnya sebanyak lima kali manakala Ronaldo tiga kali.

Griezmann dijangka akan menjadi pencabar untuk gelaran itu tahun ini selepas membawa Atletico ke final Liga Juara-Juara (UCL) dan mengetuai jentera serangan Perancis dalam perlawanan akhir Euro 2016 -- ketika mereka tewas kepada Portugal dalam final.

Tetapi Griezmann menyedari peluangnya untuk memenangi gelaran itu tipis melihat kepada prestasi Messi dan Ronaldo di pentas antarabangsa mahupun kelab.

"Ballon d'Or merupakan antara objektif saya, tetapi selagi Ronaldo dan Messi masih beraksi, ia merumitkan keadaan buat saya," ujar Griezmann kepada Telefoot.

"Ronaldo akan menjadi legenda bola sepak dalam tempoh 10 tahun lagi. Ia terpulang kepada saya untuk terus bekerja keras dan mencapai ke tahap itu.

"Ronaldo memiliki musim yang sangat berjaya. Dia memenangi UCL dan Euro 2016. Dia berhak memenangi Ballon d'Or.

"Tetapi Messi juga mempamerkan prestasi yang cemerlang. Dia sentiasa tercalon antara tiga terbaik anugerah ini."