Penyerang negara, Ahmad Hazwan Bakri, mengakui dia kini berada dalam momentum terbaik untuk membantu Harimau Malaysia bersaing hebat dalam Kejohanan Piala Suzuki AFF 2016 meskipun tampak kepenatan.

Hazwan adalah antara pemain negara yang berdepan dengan jadual padat musim ini. Dia menjadi sandaran utama pasukan Selangor untuk setiap perlawanan dan kudratnya kini ditagih pula pengendali negara, Datuk Ong Kim Swee.

Sekalipun gagal membantu Red Giants meraih kejuaraan, dia tetap dianggap cemerlang selepas berjaya mengekalkan rekod jaringan di pentas final Piala Malaysia.

"Bagi saya, untuk mendapatkan prestasi terbaik tiada masalah kerana latihan bersama skuad kebangsaan boleh meningkatkan lagi prestasi saya.

"Saya tidak menghadapi sebarang tekanan kerana jaringan gol dalam perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu, sedikit-sebanyak menaikkan moral saya untuk menghadapi Piala Suzuki AFF," jelas Hazwan.

Penyerang kelahiran Labuan yang tidak bersama skuad kebangsaan dalam Piala Suzuki AFF dua tahun lalu itu, perlu bersaing dengan tonggak senior seperti Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Kembalinya Safee Sali adalah sesuatu yang bagus untuk pasukan kerana kami memerlukan pemain yang lebih senior untuk membimbing pasukan."