Bekas penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, merangkul dua anugerah berprestij di majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 apabila dinobat selaku Pemain Paling Bernilai dan Penyerang Terbaik.

Tujuh gol dalam 25 penampilan musim lalu bersama The Red Giants sudah cukup memastikan pemain berusia 25 tahun itu muncul pemenang.

Meskipun bersaing dengan calon lebih berpengalaman, antaranya Amri Yahyah, namun prestasi Hazwan nyata lebih menyerlah sehingga menarik perhatian juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang berjaya mendapatkan khidmat pemain itu.

Sementara itu, tiada kejutan terhadap pemenang anugerah Pemain Tengah Terbaik apabila sekali lagi dimenangi perancang tengah JDT, Safiq Rahim.

Sumbangan 15 gol dan sembilan bantuan jaringan buat skuad selatan tanah air itu nyata memberi impak besar, apatah lagi dalam menjuarai Liga Super dan Piala FA musim ini.

Pemain terbaik final Piala Malaysia, Rizal Ghazali (Kedah), muncul Pertahanan Terbaik sementara anugerah Penjaga Gol Terbaik menjadi milik Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan).

Pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe, dinobat Jurulatih Terbaik susulan kejayaannya membawa skuad Lang Merah menjuarai Piala Malaysia, menewaskan Selangor dalam final.

Anugerah Pemain Import Terbaik menjadi milik penyerang berbisa JDT, Jorge Pereyra Diaz, yang turut menerima anugerah selaku Penjaring Terbanyak Import (Liga Super) dengan 18 gol.

Pada masa sama, pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, turut menerima Anugerah Khas susulan kejayaannya disenaraikan antara calon akhir Anugerah Puskas FIFA.

Senarai penuh pemenang:

1. Pemain Paling Bernilai – Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)
2. Penyerang Terbaik – Ahmad Hazwan Bakri (Selangor)
3. Pemain Tengah Terbaik – Safiq Rahim (Johor Darul Ta’zim)
4. Pertahanan Terbaik – Rizal Ghazali (Kedah)
5. Penjaga Gol Terbaik – Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
6. Jurulatih Terbaik – Tan Cheng Hoe (Kedah)
7. Pemain Import Terbaik – Jorge Pereyra Diaz (Johor Darul Ta’zim)
8. Pemain Muda Harapan – Safawi Rasid (T-Team)
9. Anugerah Fair Play – Negeri Sembilan
10. Pemain Wanita Terbaik – Dandree Rofinus (MISC-MIFA)
11. Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super) - Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak)
12. Penjaring Terbanyak Import (Liga Super) – Jorge Pereyra Diaz (Johor Darul Ta’zim)
13. Penjaring Terbanyak Tempatan (100PLUS Liga Premier) – Abdul Malik Mat Ariff
(Kuantan FA)

14. Penjaring Terbanyak Import (100PLUS Liga Premier) - Ilija Spasojević (Melaka)
15. Pasukan Bolasepak Terbaik – Johor Darul Ta’zim
16. Penyokong Terbaik - Melaka
17. Media Sosial Terbaik – Johor Southern Tigers
18. Laman Web Terbaik – Johor Southern Tigers
19. Anugerah Komuniti – Subadron Aziz Football Academy dan Kindness Malaysia
20. Anugerah Khas Piala Presiden - Kelantan
21. Anugerah Khas Piala Belia – Sekolah Sukan Bukit Jalil SSBJ B-17
22. Anugerah Khas Selamat Datang – MISC MIFA
23. Anugerah Khas Selamat Datang – PKNP FC
24. Penghargaan Khas – Mohd Faiz Subri (FIFA Puskas Award)
25. Penghormatan Khas - Mendiang Ah Wa