Eden Hazard perlu melakukan lebih banyak latihan fizikal untuk menyelesaikan proses pemulihannya daripada patah pergelangan kaki dan kembali menyarung jersi Real Madrid sekali lagi musim ini.

Real minggu lalu kembali ke pangkalan Valdebebas untuk pertama kalinya sejak dua bulan yang lalu, selepas hampir keseluruhan kegiatan sukan di seluruh dunia ditangguhkan kerana wabak koronavirus.

Para pemain melakukan sesi individu sebelum bekerja secara berkumpulan semalam, kerana kelab LaLiga mengambil langkah untuk meneruskan aktiviti normal mereka.

Hazard tidak beraksi sejak 22 Februari, namun, kecederaan patah pergelangan kakinya ketika tewas 1-0 kepada Levante, bermaksud dia hanya membuat 15 penampilan untuk Real sejak berhijrah dari Chelsea dengan harga EURO100 juta tahun lalu.

Pemain antarabangsa Belgium itu gembira menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya tetapi mengakui perlu melakukan lebih banyak kerja sebelum dia bersedia kembali beraksi.

"Saya berasa sangat gembira untuk kembali ke lapangan latihan dengan rakan sepasukan," kata Hazard kepada Real Madrid TV.

"Sekarang kita harus menunggu perlawanan yang akan datang, tetapi saya sangat gembira. Selepas dua bulan, saya memerlukan lebih banyak latihan fizikal dan lebih latihan di padang. Saya hanya mahu bersedia untuk perlawanan seterusnya.

"Sekarang latihan lebih baik, kami dapat berlatih seperti yang kami inginkan. Minggu pertama agak pelik, tetapi sekarang kami dapat berlatih semula dalam kumpulan.

"Kami hanya mahu bersama dan berusaha sebagai satu kumpulan."

Presiden LaLiga, Javier Tebas, berharap pertandingan itu siap untuk disambung semula mulai 12 Jun.