Jurulatih Barcelona, ​​Ernesto Valverde, menganggap Eden Hazard dan bekas penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, sebagai ancaman terbesar selepas pasukannya diundi menentang Chelsea dalam pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Skuad Valverde mengharungi peringkat kumpulan tanpa kalah dengan 14 mata daripada enam perlawanan untuk mengatasi Juventus sementara juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu terpaksa bekerja lebih keras dalam laluan mereka dan berada di tangga kedua di belakang Roma.

Chelsea boleh dikatakan sebagai salah sebuah pasukan yang sukar buat Barca tetapi Valverde berasakan ia akan menjadi satu perlawanan yang menarik buat penyokong.

Dia mungkin memberi perhatian khusus kepada Morata dan Hazard dalam ancaman serangan Chelsea.

"Secara taktikal, mereka sangat baik dan agresif," kata Valverde kepada Barca TV.

"Dengan Morata, mereka mempunyai kelajuan dalam serangan dan Hazard sangat baik di bahagian tengah. Mereka adalah pasukan yang kuat.

"Ini satu cabaran yang sukar untuk kami tetapi kami tahu bahawa tiada apa yang mudah kerana terdapat pasukan yang sangat baik di peringkat ini.

"Chelsea adalah juara Liga Perdana tetapi kami akan bermain dengan semangat kerana walaupun ia sukar, ia sangat bagus untuk kami dan penyokong. Dalam aspek itu, ia mudah untuk memotivasi pemain," katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di Stamford Bridge pada 21 Februari sebelum aksi timbal balik di Camp Nou pada 15 Mac depan.