Perpindahan Cristiano Ronaldo daripada Real Madrid meninggalkan kekosongan yang besar dan Ludovic Giuly berasakan Eden Hazard atau Kylian Mbappe mungkin mampu menampung ruang berkenaan.

Real menamatkan rentetan lima perlawanan tanpa kemenangan dalam semua kejohanan selepas mengatasi Viktoria Plzen 2-1 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL), Selasa lalu, tetapi mereka bakal menempuhi pertemuan El Clasico dengan Barcelona, Ahad ini, di tangga ketujuh liga.

Real gagal mencipta sebarang jaringan dalam empat perlawanan dan bekas pemain Barca, Giuly, percaya kegagalan menggantikan Ronaldo yang berhijrah ke Juventus menumpulkan jentera serangan dan bintang berkualiti seperti Hazard dan Mbappe antara yang mampu menggantikan tempatnya.

"Real Madrid sedang bergelut. Ronaldo telah melonjakkan prestasi Juve kerana dia merupakan seorang pemain yang bagus," katanya.

"Mereka kehilangan jurulatih (Zinedine Zidane) yang memenangi tiga gelaran UCL berturut-turut. Mereka kehilangan pemain yang penting untuk pasukan. Ia adalah kitaran kehidupan dan kadangkala, ia sukar untuk diganti.

"Real tidak memiliki pemain seperti Ronaldo. Mereka tidak menggantikannya. Hazard atau Mbappe memiliki kualiti yang hampir sama dan mereka adalah calon terbaik," ujarnya.

Barca mendahului LaLiga walaupun sekadar meraih lima kemenangan daripada sembilan aksi dan Giuly berpendapat kepenatan pasca-Piala Dunia telah memberikan impak kepada gergasi Sepanyol itu.

"Pemain-pemain beraksi sebanyak 60 perlawanan setahun dan menghadapi tekanan dalam saingan Piala Dunia. Jika beraksi hingga ke final, anda bermain lapan lagi perlawanan.

"Mereka sekadar berehat selama tiga minggu. Saya berasakan pemenang Piala Dunia memerlukan rehat sekurang-kurangnya sebulan."