Eden Hazard percaya sesuatu yang adil jika tempohnya di Real Madrid hanya akan dinilai selepas akhir musim depan.

Pemain berusia 29 tahun itu berhijrah ke ibu negara Sepanyol Jun lalu selepas tujuh musim cemerlang bersama Chelsea, di mana dia memenangi dua pingat kejuaraan liga, dua trofi Liga Europa serta Pemain Terbaik Tahunan PFA.

Bagaimanapun, perubahan kelab baru memberikan cabaran besar buat Hazard selepas hanya meledakkan satu gol dalam 10 penampilan LaLiga sebelum mengalami kecederaan buku lali bulan lalu yang memaksanya berehat sehingga akhir musim.

Dia yang turut direhatkan November sehingga Januari lalu dengan masalah sama mengakui sukar untuk mengharungi kempen musim pertama bersama Los Blancos tetapi yakin dapat menangani kritikan yang diterima.

"Musim pertama saya di Madrid sememangnya buruk tetapi ia lebih kepada penyesuaian diri," katanya.

"Saya akan dinilai dalam musim kedua. Ia satu kelompok pemain hebat, saya bertemu ramai orang baru dan menjadi satu pengalaman hebat.

"Saya masih ada empat tahun dalam kontrak dan berharap dapat menemui prestasi."


Selepas jahitan dibuka pada minggu lalu susulan pembedahan di bahagian buku lalu di Dallas, Hazard dijangka dapat memperkuatkan Belgium di pentas Euro 2020.

Namun, kejohanan itu ditangguhkan selama 12 bulan susulan wabak coronavirus.

"Saya berharap dapat cergas untuk Euro tetapi agak kecewa apabila ia ditangguhkan," tambahnya.

"Saya merancang untuk beraksi dan pembedahan dibuat beberapa minggu lalu.

"Kami akan setahun lebih tua pada 2021. Ia agak memalukan tetapi boleh memberikan saya ruang untuk mendapatkan prestasi terbaik.

"Saya fikir ia agak sukar untuk peminat kerana mereka mahu menyaksikan saingan antarabangsa dalam setiap musim panas. Jadi, ia sukar buat mereka.

"Namun, saya juga fikir terdapat keutamaan lain dalam kehidupan sehingga ia perlu dibatalkan. Akhirnya, pemain bola sepak juga seperti orang lain. Harus tunggu tahun depan."