Eden Hazard bergurau mengenai prestasi Romelu Lukaku bakal menurun selepas penyerang Manchester United itu meledak dua gol untuk mengatasi Switzerland, awal pagi tadi.

Lukaku meledak dua gol dalam separuh masa kedua di Brussels bagi merakamkan kemenangan 2-1 buat skuad kendalian Roberto Martinez itu dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA.

Pemain berusia 25 tahun itu gagal meledak sebarang jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut, dengan kali terakhir melakukannya ketika United mengatasi Watford 2-1 empat minggu lalu.

Menjelang aksi Chelsea menentang United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan, Hazard tidak senang melihat persembahan yang dipamerkan Lukaku.

"Ia bukan petanda baik melihat Lukaku menjaringkan gol dalam perlawanan ini kerana saya dan Chelsea akan menghadapinya minggu depan," kata Hazard.

"Saya boleh menerima jika dia menjaringkan gol untuk Belgium tetapi saya berharap dia tidak mampu melakukannya ketika bersama United."

Pengurus Belgium, Martinez, lebih berterima kasih kepada gol berganda daripada Lukaku bagi memastikan kemenangan selepas Mario Gavranovic meledak gol penyamaan pada minit ke-76.

The Red Devils kini mendahului Switzerland dengan kelebihan tiga mata dalam Kumpulan A2.

"Lukaku adalah seorang penyerang berbisa. Apa yang dipamerkan di pentas antarabangsa sejak dua tahun lalu amat menakjubkan," kata Martinez.

"Kemenangan ini sangat memuaskan kerana sukar untuk mengatasi lawan seperti Switzerland."