Tempoh Eden Hazard di Real Madrid akan berkembang menjadi sangat istimewa, kata pengendali Belgium, Roberto Martinez.

Hazard sedang mencari-cari prestasi terbaik bersama Real sebelum mengalami kecederaan buku lali ketika diikat Paris Saint-Germain (PSG) 2-2 dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Selasa lalu.

Bekas penggempur Chelsea itu hanya meraih satu gol dan dua bantuan jaringan dalam 13 perlawanan musim ini tetapi Martinez percaya perancang Belgium itu akan menjadi bintang Los Blancos.

"Saya menyaksikan Hazard di Santiago Bernabeu ketika menentang PSG dan saya perlu katakan ia merupakan detik yang mempesonakan," katanya.

"Dia memberitahu kami bagaimana tempohnya di Real akan terjadi dan ia bakal menjadi bualan ramai.

"Malangnya, dia terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan tetapi kami lihat dia akan memberi lebih banyak sumbangan. Itu yang rakan-rakan tahu tentangnya. Apa yang pasti, projek melibatkan Hazard di Real akan menjadi sangat istimewa."

Martinez bercakap selepas Belgium diundi bersama Denmark, Finland dan Russia dalam Kumpulan B saingan Euro 2020.

Pemain lain yang sudah pasti menjadi kunci utama buat Belgium dalam saingan tahun depan itu adalah Romelu Lukaku yang telah menyumbat 11 gol dalam 11 perlawanan buat Inter musim ini.

"Jelas sekali dia mengalami detik sukar di Manchester United ketika enam bulan terakhir, terutamanya," tambah Martinez.

"Dia kini mengetuai projek bersama Antonio Conte dan menarik untuk melihat evolusi yang bakal dihasilkan."